Persiapan majlis istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16

Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah tidak sempat ditabal di negeri sendiri iaitu negeri Pahang selepas menaiki takhta negeri kerana tempoh yang pendek antara tarikh menjadi sultan dan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya 2 minggu. Disebabkan itu, Raja Permaisuri Agong sendiri terlibat secara langsung dalam persiapan istiadat ini untuk memastikan kelancaran dan keistimewaan hari tersebut.

Cuti umum

Kerajaan Malaysia mengisytiharkan 30 Julai 2019 sebagai hari cuti umum tambahan di seluruh Malaysia sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI. Pengisyiharan ini dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.[3]

Sebelum itu, pada 30 Mei 2019 pula, kerajaan negeri Pahang telah mengumumkan 30 Julai sebagai cuti umum sempena Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah. Berikutan dua peristiwa berbeza jatuh pada hari yang sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar telah berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 12 Jun 2019 telah memutuskan bahawa 30 dan 31 Julai 2019 adalah sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Pahang berdasarkan kuasa diberikan mengikut Subseksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).[4]

Perutusan Warkah Persilaan

Warkah Persilaan telah diutus kepada setiap Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah,[5] Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Putera Ali Al-Hussein dari Jordan juga telah dijemput hadir ke Istiadat Pertabalan ini. Warkah Persilaan kepada kedua-dua putera itu ditulis dalam Jawi Bahasa Melayu bersama terjemahan teks ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab yang diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri.[6]

Tradisi mengutuskan Warkah Persilaaan yang ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi dalam Bahasa Melayu itu dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama, iaitu Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad.[7]

Rekaan Warkah Persilaan kali ini dicadang sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri dengan meminta agar lambang setiap negeri dicetak atas warkah tersebut sebagai simbol perpaduan Raja-raja Melayu. Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 diamanahkan dengan tanggungjawab mempersembahkan Warkah Persilaan kepada pemerintah mengikut adat dan tradisi. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof[8] dan terdiri daripada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini sebagai wakil Istana Negara, dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.[6]

Setiap warkah digulung dan dimasukkan ke dalam wadah berbentuk silinder berwarna emas yang diletakkan di atas dulang yang juga berwarna emas. Di sesetengah negeri, para sultan akan memberikan perkenan untuk kandungan Warkah Persilaan dibacakan di hadapan mereka oleh salah seorang anggota rombongan perutusan yang selaras dengan tradisi zaman dahulu.[6]

Abdul Baki Abu Bakar dari Sik, Kedah, yang pernah bertanggungjawab buat kali pertama menulis khat untuk istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada tahun 2002 telah diberi amanah untuk menulis tangan setiap warkah yang dipesan khas buat kali ini. Turut dijemput menulis warkah tersebut ialah Ustaz Jainal Sakiban dari Batu Pahat, Johor yang dulu pernah menjadi guru agama kepada Raja Permaisuri Agong dan yang menulis untuk persilaan Istiadat Perkahwinan dan sijil perkahwinan Al-Sultan Abdullah dengan Raja Permaisuri Agong.[6]

Penulisan warkah itu sendiri adalah proses yang lambat kerana ketelitian agar dakwat tidak tertumpah di atas kertas yang berkualiti tinggi, dengan ruang untuk teks khat telah ditetapkan selain memastikan jumlah dakwat yang mencukupi.Ciri-ciri kertas juga kadang-kadang boleh menimbulkan cabaran kerana beberapa jenis kertas lebih sesuai untuk pencetakan berbanding untuk tujuan khat. Ketelitian memilih mata pen yang betul juga menjadi cabaran kerana mempengaruhi kepanjangan teks dan ruang yang diperlukan. Jenis khat yang digunakan pula adalah jenis Nusukh dan Tuluth.[8]

Kepanjangan teks warkah juga bergantung kepada pangkat dan gelar setiap sultan. Laras bahasa yang digunakan juga merupakan Bahasa Melayu Istana yang menjadikan warkah tersebut merupakan persilaan rasmi peribadi dengan penghormatan dan gelaran panggilan yang sesuai oleh Seri Paduka Baginda kepada raja-raja yang lain.[6]

Takhta dan persalinan warisan

Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia menyaksikan kedua-dua Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong merupakan anakanda kepada bekas Yang di-Pertuan Agong yang terdahulu iaitu yang ke-7, Almarhum Sultan Ahmad Shah dan ke-8 Almarhum Sultan Iskandar. Maka, kedua-dua Seri Paduka Baginda, khususnya Raja Permaisuri Agong, ingin mengembalikan nilai sentimental dengan menggunakan semula singgahsana persemayaman dan persalinan diraja yang pernah digunakan semasa pertabalan ayahanda mereka. Maka, singgahsana tersebut dibawa kembali dari Galeri Diraja Tuanku Jaafar Negeri Sembilan untuk diperindahkan dan diperbaiki bagi kegunaan Istiadat Pertabalan.[9] Di belakang singgahsana pula diletakkan beberapa helaian kain mirip istana lama dahulu. Kain songket dari Brunei juga ditempah oleh Tunku Azizah sendiri digunakan sebagai alas kerusi singgahsana.[10]

Muskat dan Tengkolok Diraja pula adalah kepunyaan Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1979 dan pernah dipinjamkan kepada Almarhum Sultan Iskandar untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong 5 tahun kemudian. Almarhum Sultan Iskandar tidak menempah muskat dan tengkolok kerana ingin memakai pakaian seragam tentera seperti yang sering dipakai pada majlis rasmi di negeri Johor. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir, telah menghadap seminggu sebelum Istiadat Pertabalan dan merayu agar baginda memakai muskat. Namun, muskat ini tidak dipakai oleh Al-Sultan Abdullah kerana perbezaan saiz tetapi muskat baharu yang dipakai tetap mempunyai estetika tersendiri sementelahan rekaan busana rasmi itu adalah sama dengan muskat yang dipakai Almarhum Sultan Ahmad Shah.[9]

Busana persalinan Raja Permaisuri Agong pula dibuat khas oleh pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun menyediakan reka persalinan bagi Seri Paduka Baginda sekeluarga. Enam persalinan milik Tunku Azizah sempena istiadat tersebut adalah termasuk busana daripada fabrik tenun Pahang hasil tenunan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong Pahang yang diilhamkan baginda sendiri serta 12 lagi persalinan untuk anakanda-anakanda Tunku Azizah. Rizalman mengekalkan rekaan kurung moden kolar bulat dengan bahu berkedut yang menjadi identiti baginda, seperti yang digayakan ketika beliau mula melihat baginda menerusi muka hadapan sebuah majalah.[10]

Rujukan

WikiPedia: Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1690481 https://www.utusan.com.my/berita/nasional/al-sulta... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06... https://www.hmetro.com.my/utama/2019/07/473837/pah... http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018... https://www.thesundaily.my/style-life/feature/an-i... https://www.utusan.com.my/berita/nasional/persiapa... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/agongkit... http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1751675&f...